Khamis, Februari 02, 2017

Beli Emas Secara Bertangguh & Pelaburan Akaun Emas di Bank

Salam.

Saya pernah membeli emas fizikal dalam bentuk dinar emas secara online di Nubex pada zaman kenaikan harga emas dahulu iaitu pada tahun 2011. Pada zaman tersebut juga heboh orang mengatakan tidak boleh beli emas secara bertangguh, bermaksud beli secara tunai dan mesti mendapatkan emas tersebut secara tunai juga, tanpa bertangguh. Pada waktu itu, berdasarkan kajian saya dengan mencari maklumat dan pandangan syarak, emas boleh dibeli secara bertangguh asalkan tidak melebihi tempoh 3 hari. Oleh itu, belian saya secara online melalui Nubex adalah sah kerana Nubex menghantar emas tersebut melalui Pos Laju yang dapat diperolehi dalam masa 1 hingga 3 hari. Sehingga kini juga saya masih membeli emas apabila terdapat lebihan tunai atau simpanan, kerana sifat emas itu sendiri yang bernilai, dan beberapa kelebihan lain seperti dalam post saya sebelum ini. 

Berikut adalah antara kandungan mengenai transaksi emas dalam buku "Panduan Syarak Tentang Emas" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2015. 

"Kemajuan teknologi membawa kepada wujudnya pelbagai medium transaksi dan urus niaga. Perniagaan yang asalnya berlaku secara bersemuka, kini dapat dijalankan melalui talian dan maya. Sempadan masa dan tempat tidak lagi menjadi halangan dalam sesuatu transaksi. 

Perubahan ini menyebabkan para sarjana Islam kontemporari berijtihad bagi menentukan hukum bagi setiap jenis transaksi tersebut.  Apatah lagi, emas merupakan barang ribawi yang mempunyai syarat-syarat khas yang perlu dipatuhi dalam setiap urusan jual belinya"

Pembayaran Emas Secara Tunai

Menurut syarak, jual beli barang ribawi seperti emas perlu menepati syarat-syarat berikut: 

1. Perlu dilakukan secara tunai (lani)
2. Tidak boleh berlaku penangguhan dalam penyerahan

So, blog post kali ini saya cuma nak menjadikan kekeliruan mengenai belian emas tertangguh ini menjadi lebih jelas. Ini merupakan soal jawab mengenai belian emas tertangguh daripada laman web majalahniaga yang mendapatkan jawapan daripada Pakdi, seorang Islamic Financial Planner, dan juga penulis buku "Rancang Wang Dari Sekarang". 

#6 – Bagaimana mahu membuat pembelian emas fizikal secara online?
7soalan Jualbeli emas-2Pembelian emas secara online dapat dibuat selagi mana ia dibuat secara tunai. Andaikan tuan membeli emas seberat 10g bernilai RM 1,500, maka selepas sahaja tuan membayar jumlah penuh kepada penjual, maka penjual mesti memberikan resit yang dapat tuan gunakan untuk menuntut emas tersebut.
Tujuan resit adalah untuk memenuhi syarat qabadh (possession) yang menjadi syarat wajib jual beli emas. Qabadh hakiki (actual possession) berlaku apabila selepas tuan membayar, tuan memperoleh emas tersebut.
Qabadh hukmi (constructive possession) pula berlaku apabila selepas tuan membuat pembayaran, tuan menerima resit yang menunjukkan emas itu ada, dan tuan dapat menuntut emas tersebut pada bila-bila masa tanpa sebarang halangan daripada pihak penjual.
Saya juga pernah membuka akaun pelaburan emas di Maybank, dengan membeli emas sebanyak 5g dan direkodkan dalam buku pelaburan. Kemudian, saya mengetahui bahawa kaedah pelaburan seperti itu tidak sah kerana tiada emas fizikal yang diniagakan, sebaliknya hanya di atas kertas sahaja. Akaun pelaburan emas yang sah mengikut syarak pada masa itu hanyalah yang ditawarkan oleh Kuwait Finance House dan Bank Rakyat sahaja, kerana bank-bank tersebut akan menunjukkan bukti yang emas fizikal ada apabila kita membeli, kita boleh lihat sendiri dan pegang, dan seterusnya barulah kita boleh membeli/melabur untuk dicatatkan dalam buku akaun pelaburan. Sehubungan dengan itu, saya cuba menutup akaun pelaburan emas tersebut, tetapi tidak boleh. Maka saya keluarkan 4g emas, dan hanya tinggal baki 1g sahaja. Baru-baru ini pada Januari 2017, saya berkelapangan dan pergi ke bank untuk menutup buku pelaburan emas tersebut, dan kali ini berjaya. Kesilapan saya ini disebabkan saya tidak arif mengenai "Syarat Wujud Emas" dari segi syarak. 

Oleh itu, berikut merupakan antara isi penting yang terkandung dalam buku "Panduan Syarak Tentang Emas" sebagai ilmu bagi "Syarat Wujud Emas" ini:

Syarat Wujud Emas

Antara perkara yang perlu diteliti ketika melakukan pembelian emas khususnya yang dalam aktiviti pelaburan emas, ialah kewujudan emas fizikal secara hakiki. Hal ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W yang bermaksud: 

"Daripada Hakim ibn Hizam, katanya: Wahai Rasulullah, ada dalam kalangan lelaki datang kepadaku untuk membeli, namun aku tidak mempunyai barang. Adakah boleh aku berjual beli, kemudian aku dapatkan barang daripada pasar? Maka jawaba Baginda: Jangan jual sesuatu yang engkau tidak miliki." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Hadith tersebut jelas mensyaratkan wujudnya barang jualan semasa akad jual beli. Perbuatan berakad sebelum memiliki sesuatu barang yang hendak dijual adalah bertentangan dengan syarak. Hal ini berlaku dalam jual beli emas apabila penjual telah melakukan akad dengan pembeli sebelum dia mendapatkan bekalan emas daripada pengeluar atau pengedar. 

Keghairahan sebahagian masyarakat untuk mengaut keuntungan, menyebabkan mereka terlibat dengan pelaburan emas secara maya atau berbentuk akaun semata-mata tanpa disandarkan kepada emas fizikal. Perkara ini juga tidak menepati syarat jual beli, iaitu adanya emas ketika jual beli dan diketahui oleh kedua-dua pihak berakad sama ada dengan: 

1) Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya. 

2) Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan. 

3) Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara'urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenal pasti tahap ketulenan emas sama ada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peraturan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, sama ada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas. 

Disyaratkan juga bahawa barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika emas tersebut tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah. 

Sekian sahaja post saya kali ini. 
Terima kasih kerana sudi membaca. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan