Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 19, 2025

Pengalaman Membuat Refinance Rumah dengan Bank Islam

Assalamualaikum & Salam Sejahtera. 

Berikut merupakan kronologi proses refinance rumah yang telah saya buat bermula dari menghubungi agen hartanah sehingga disbursement Bank Pembeli (BIMB):

10.01.2024: Hubungi Agen Hartanah, bertanya mengenai Refinance rumah, Agen kata biasanya proses ambil masa 3 bulan (jika tiada masalah). Semua dokumen yang diperlukan diberi dalam bentuk softcopy. 

29.01.2024: Agen hartanah update permohonan ke bank CIMB tak lepas kerana CCRIS burst (mungkin DSR Debt Service Ratio melebihi DSR limit CIMB)

30.01.2024: PIC Bank Islam (BIMB) contact, mengatakan boleh buat refinance dengan BIMB

28.02.2024: Banker minta slip gaji, kerana saya baru bertukar kerja dan mula kerja baru pada 17 Jan 2024.

25.03.2024: Refinance Loan BIMB telah diluluskan

25.04.2024: Agreement signing bersama pihak lawyer. Pada masa ini Lawyer beritahu proses seterusnya  mengambil masa lebih kurang 3 bulan (1.5 bulan BIMB release full loan ke MIB, 1.5 bulan BIMB release baki beza loan baru vs loan lama)

03.05.2024: Peguam serah dokumen pinjaman kepada BIMB untuk ditandatangani wakil kuasa

14.05.2024: Dokumen pinjaman dikembalikan BIMB kepada peguam 

14.05.2024: Dokumen pinjaman disetemka di LHDN

14.05.2024: Mohon penyata baki hutang (Redemption Statement) daripada MIB

29.05.2024: Penyata Baki Hutang diterima daripada MIB

10.06.2024: Peguam menasihati BIMB untuk mengeluarkan bayaran tebus baki hutang MIB dengan syarat semua dokumen berkaitan telah diterima peguam daripada pihak-pihak berkaitan. 

19.06.2024: Terima notifikasi bayaran daripada BIMB bahawa baki hutang telah dijelaskan. 

26.06.2024: Serahkan kepada MIB notifikasi bayaran dan Borang 16N (melepaskan gadaian)

02.07.2024: Terima Dokumen Sekuriti dan Geran Asal daripada MIB

17.07.2024: Borang 16A (gadaian) & Borang 16N (melepaskan gadaian) disetemkan di LHDN

17.07.2024: Peguam membuat perserahan/pendaftaran gadaian ke atas BIMB di Pejabat Tanah

17.07.2024: Peguam menasihati BIMB untuk mengeluarkan bayaran baki pinjaman

29.07.2024: Terima notifikasi bayaran daripada BIMB

29.07.2024: Baki pinjaman diserahkan kepada pelanggan (setelah membuat penolakan kos-kos berkaitan, jika ada)

So secara overall, proses refinance mengambil masa 7 bulan dari mula menghubungi agen hartanah sehingga disbursement dari Bank Pembeli. 

Nilai rumah semasa mula-mula saya beli RM 200,000.00

Nilai pinjaman Refinance BIMB: RM337,537.00

Interest rate yang saya dapat = SBR + 0.9%

Antara kos yang perlu diambilkira sepanjang proses Refinance ini adalah:

1. Lawyer fee. Saya dikenakan caj RM9962.75

2. Property agent fee. Saya dikenakan caj RM3375.37 (1% dari nilai Refinanc)

3. MRTT RM20,936. Nilai ini dikira berdasarkan jumlah pinjaman dan umur semasa saya momohon pinjaman. MRTT yang asal dengan pinjaman lama sudah terbatal.


Hasil tunai dari Refinance ini, saya request pihak BIMB untuk buat full settlement 4 pinjaman lain seperti berikut: 

1. Pinjaman kereta

2. Pinjaman kad kredit #1

3. Pinjaman kad kredit #2

4. Pinjaman peribadi


Baki bersih selepas full settlement 4 pinjaman lain tersebut dikreditkan ke dalam bank akaun saya. 

Jika pembaca ada apa-apa soalan boleh tulis di ruangan komen ya. 

Terima kasih kerana membaca. 



Isnin, Ogos 02, 2021

Review Jujur: E-Book Pelaburan Saham Yang Best

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ebook "Rahsia Lubuk Duit: Selangkah ke Dunia Pelabuan Saham" mengenai pelaburan saham baru sahaja dilancarkan ECJ Cares yang ditulis oleh Coach Jaz, salah seorang guru saya dalam saham. Ebook ini ditulis dalam bahasa yang mudah difahami sesuai sama ada untuk yang berminat nak tau mengenai saham (zero), newbie, dan juga bagi pelabur/pedagang yang dah lama terlibat. Isi kandungannya berwarna-warni, ada gambar dan infografik berguna, dan disertai analogi yang dapat memudahkan kita faham ilmunya.

Antara isi kandungan E-Book ini:
  • Apa itu saham?
  • Pelabur atau Pedagang. Anda yang mana satu?
  • Persamaan Bursa dan Pasar Ikan
  • Tak Kenal Maka Tak Cinta
  • Hubung Kait Sentimen dan Sektoral
  • Waktu Terbaik Jual & Beli Saham
  • Nilai vs Harga
  • Pengurusan Kewangan dalam Saham
  • Zakat dan Saham
  • Tips Pelabur Bijak

Saya sendiri dah beli buku ini. Memang best. Marilah melabur dalam ilmu, InshaAllah tak rugi. Malah dapat tambah nilai diri sendiri. Kepada kawan-kawan yang berminat nak beli, boleh klik link ini ya:






p/s: Kalau nak tengok preview/sample atau nak tanya apa-apa sahaja, boleh pm tepi dengan klik di sini. Terima kasih!

Ahad, April 29, 2018

Cara Kira Progressive Payment Untuk Rumah Dalam Pembinaan

Untuk rumah dalam pembinaan, pembeli perlu bayar installment mengikut peratus rumah yang sudah disiapkan mengikut progress, contohnya 10%, 20%, 35%, 45%, sehinggalah 100%. Formula untuk pengiraan progressive payment adalah seperti berikut:

Jumlah pinjaman x jumlah progress pembinaan = Pinjaman diluluskan oleh bank

Katakan progress pembinaan ialah 35%, dan jumlah pinjaman ialah RM200,000.00, maka

35% x RM200,000 = RM70,000. 

Katakan interest ialah 4.75%, dan pengiraan untuk bulan Januari, maka anda perlu membayar:

[(RM70,000 x 4.75%)/365] x bilangan hari dalam sebulan

= [(RM70,000 x 4.75%)/365] x 31 = RM282.40

Lihat pula contoh lain, jika progress pembinaan ialah 55% dan pengiraan untuk bulan April, maka

55% x RM200,000 = RM110,000. 

Bayaran = [(RM110,000 x 4.75%)/365] x 30 = RM429.45 


Harap membantu.

Selasa, Februari 20, 2018

Dapatkan Laporan CCRIS Dengan Mudah Melalui Permohonan Email


Laporan CCRIS selalunya diperlukan untuk permohonan loan rumah atau nak apply skim perumahan seperti PR1MA dan Rumah Selangorku. Laporan CCRIS hanya boleh didapati di Bank Negara atau Kiosk Bank Negara. 

Ada juga cara lain yang lebih mudah nak dapatkan laporan CCRIS ini, iaitu melalui email. Berikut merupakan proses yang terlibat:

1. Download borang permohonan di website Bank Negara 
2. Isi borang dan scan untuk dijadikan format PDF atau WORD
3. Hantar borang permohonan yang siap diisi melalui email (sertakan sekali IC, borang pengisytiharan pinjaman, dan 2 salinan bill yang ada nama sendiri dan alamat)
4.  Laporan CCRIS akan dihantar melalui email oleh staff Bank Negara (BNMTELELINK) dalam masa 2 minggu. 
5. Selepas dapat email yang mengandungi CCRIS, telefon Bank Negara untuk dapatkan password untuk fail PDF yang dilampirkan
Borang permohonan CCRIS
Checklist Permohonan CCRIS

permohonan CCRIS melalui email

email reply daripada Bank Negara beserta CCRIS 

p/s: Ada satu lagi cara yang lebih mudah iaitu melalui eCCRIS  https://eccris.bnm.gov.my (akan dikongsi selepas cuba nanti). 

Selasa, Oktober 17, 2017

Analogi Mudah Mengenai Pelaburan Saham

Pelaburan saham secara mudahnya boleh dianalogikan seperti pizza.
Katakan satu pizza boleh dipotong 8. Bayangkan pula pizza itu seperti keuntungan syarikat. Semakin banyak untung syarikat, semakin besar pizza tersebut. Jika pizza makin besar, setiap potongan pizza (1/8) yang akan diperolehi juga semakin besar.
Dalam pelaburan saham, semakin untung sesebuah syarikat, nilai saham akan meningkat. Dividen daripada syarikat juga akan bertambah. Sebaliknya, jika syarikat rugi, nilai saham akan menurun dan dividen juga kurang atau tiada dividen langsung.
Graf turun naik saham sebenarnya adalah proses saham tersebut mencari nilai sebenar syarikat. Ia juga disebabkan oleh supply & demand (jualan dan belian saham), selain spekulasi pelabur jangka masa pendek (daily traders).
Bayangkan pizza-pizza ini dijual secara terbuka di dalam sebuah pasar, dan setiap pizza dipotong kepada banyak bahagian. Ada potong 15, potong 100, potong 1000. Semua pizza ini bebas dibeli oleh sesiapa sahaja. Dalam konteks saham di Malaysia, kesemua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah "public-listed company", maka segala aktiviti syarikat boleh diketahui umum, termasuk maklumat kewangan syarikat (penyata untung rugi, aliran tunai, aset, liabiliti, dan lain2), dan orang awam boleh menilai atau meneliti maklumat tersebut sebelum melabur dalam saham syarikat tersebut.
Tahukah anda sebenarnya majoriti daripada anda terlibat secara tidak langsung dengan saham ini? Ya..ianya melalui pelabur saham institusi atau pemegang amanah seperti PNB(uruskan ASB), KWSP, Tabung Haji, dan Public Mutual.
Mari kita lihat secara kasar jumlah pelaburan antara pelabur institusi yang besar di Malaysia. 
KWSP: 600 billion
PNB: 300 billion
LTAT: 200 billion
KWAP: 150 billion
Tabung Haji: 100 billion

Jika anda mahu melabur sendiri, anda boleh dapat peratus untung yang lebih tinggi daripada pelabur institusi, tetapi ia memerlukan ilmu, pengalaman, kesabaran, dan komitmen yang tinggi. Jadi melaburlah dalam ilmu dahulu. Dengan ilmu yang betul, keuntungan dapat dimaksimakan & kerugian dapat diminimakan. Perlu diingat, setiap pelaburan ada risikonya. Kalau ada orang ajak melabur, dijamin untung sekian2 dan anda hanya goyang kaki, memang sah lah itu scam.
Kredit gambar: www.pexels.com
Fakta pelabur institusi: Seminar Pelabur Global Dato Dr. Nazri Khan
Idea analogi pizza: https://youtu.be/F3QpgXBtDeo

Penulis: Azlan Wahidin

Selasa, Mei 23, 2017

Proses Cabut Undi & Pinjaman Perumahan Rumah Selangorku

Perkongsian kali ini adalah mengenai proses cabut undi dan pinjaman perumahan bagi Rumah Selangorku. Sebelum ini saya ada berkongsi mengenai Pengalaman Membeli Rumah Selangorku bagi projek apartmen DeBayu, Setia Alam (Type C).  

Saya kongsikan dahulu ringkasan dan kronologi proses pembelian Rumah Selangorku berdasarkan pengalaman saya sendiri:
  1. Mohon online di website LPHS: 25 Oktober 2016
  2. Ditawarkan rumah: 26 November 2016
  3. Dapat surat tawaran daripada developer: 7 April 2017
  4. Cabut Undi: 15 April 2017
  5. Mohon pinjaman perumahan: 15 April 2017
  6. Dapat tawaran pinjaman perumahan: 20 April 2017
  7. Tandatangan surat tawaran pinjaman perumahan: 26 April 2017
  8. Maklumkan peguam mengenai kelulusan pinjaman & proses penyediaan perjanjian bermula: 27 April 2017
  9. Developer minta salinan tawaran pinjaman perumahan: 8 Mei 2017
  10. Tandatangan perjanjian S&P & perjanjian pinjaman perumahan: 10 Julai 2017
Surat tawaran Rumah Selangorku daripada LPHS

Surat tawaran Rumah Selangorku daripada SP Setia (page 1) 
Surat tawaran Rumah Selangorku daripada SP Setia (page 2)



Kronologi nombor 1 & 2 saya dah cover dalam perkongsian sebelum ini. Saya akan kongsikan mengenai kronologi nombor 3 dan seterusnya. Saya dapat surat tawaran dan makluman untuk cabut undi pada 7 April 2017. Di dalam surat tersebut, terdapat 2 surat tawaran, satu daripada developer (SP Setia) bertarikh 1 April 2017, satu lagi daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bertarikh 10 Mac 2017. Tarikh cabut undi adalah dalam masa 2 minggu daripada surat tawaran iaitu 15 April 2017. Saya tidak mendapat apa-apa SMS ataupun call daripada developer yang menyatakan surat tawaran sudah ready dan kena cabut undi. Nasib baiklah saya ikut perkembangan semasa di group whatsapp dan group facebook Rumah Selangorku DeBayu. Untuk makluman, jika saya tidak hadir pada tarikh cabut undi, tawaran tersebut akan terbatal dengan sendirinya. 

  1. Pada hari cabut undi tersebut, saya perlu membawa bersama dokumen-dokumen berikut:
  2. Salinan surat tawaran developer
  3. Salinan MyKad (4 keping)
  4. Bayaran wang pendahuluan sebanyak RM2,000.00 (cek/bank draf atau tunai)
  5. Salinan surat tawaran LPHS
  6. Salinan slip gaji untuk 3 bulan terkini
  7. Salinan penyata terkini KWSP
  8. Salinan borang J/Borang EA
Pada hari cabut undi tersebut, Surat Perjanjian Jual Beli (Sales & Purchase Agreement) sudah tersedia dan saya perlu tandatangan surat perjanjian pada hari itu juga. Untuk makluman, walaupun sudah tandatangan S&P, jika kita tidak berjaya dapat mana-mana pinjaman perumahan dalam tempoh yang ditetapkan, kita akan dapat semula apa-apa bayaran yang telah dibuat kepada developer. Pada hari cabut undi itu juga, bank-bank panel ada sekali, so kita boleh terus bertanya kelayakan dan mohon pinjman perumahan. Saya mohon dari 3 bank iaitu Maybank, CIMB, dan BSN. 

Lebih kurang seminggu selepas tarikh cabut undi, saya dapat berita pinjaman perumahan saya lulus bagi ketiga-tiga bank (100% pinjaman). Mungkin sebab rekod CCRIS saya ok. Saya pilih Maybank sebab interest rate yang ditawarkan paling rendah sebanyak 4.5%, tambahan pulan gaji saya masuk ke Maybank, so boleh buat standing instruction (automatik tolak daripada akaun Maybank untuk bayar installment bulanan pinjaman perumahan). Insatllment bulanan saya untuk pinjaman Maybank adalah RM1021, bagi tempoh bayaran/pinjaman 32 tahun, termasuk MRTT RM8,549.00 


Agen Maybank telah datang ke office saya di Shah Alam untuk tandatangan surat tawaran pinjaman perumahan tersebut lebih kurang seminggu selepas dapat berita kelulusan pinjaman. Kemudian saya call person in charge di pihak developer untuk memaklumkan yang pinjaman saya dah lulus. Developer suruh saya maklumkan pihak peguam dahulu. Pihak peguam perlukan salinan surat tawaran pinjaman perumahan, dan mereka meminta supaya saya hantar softcopy (scanned sebagai fail PDF) surat tawaran pinjaman tersebut supaya dapat diproses lebih cepat kerana jika tunggu Maybank hantar surat tawaran secara serahan tangan, akan ambil masa seminggu. Seminggu selepas saya serahkan softcopy surat tawaran pinjaman perumahan, pihak developer call saya untuk minta softcopy juga. 

Selain S&P aggreement, perjanjian pinjaman perumahan juga akan disediakan oleh pihak peguam yang sama, dengan kos lebih kurang RM3,500.00 untuk legal fees & stamp duty. Untuk legal fees & stamp duty S&P, kos tersebut ditanggung oleh pemaju. Saya dapat maklum daripada group whatsapp/facebook bahawa proses penyediaan dokumen S&P dan perjanjian pinjaman perumahan akan ambil masa paling cepat pun sebulan. 

Update terbaru: Saya telah tandatangan perjanjian S&P dan perjanjian pinjaman perumahan bersama pihak peguam pada 10 Julai 2017. Saya perlu tandatangan setiap mukasurat dokumen perjanjian (lebih 50 mukasurat), dan kemudian perlu membayar wang sebanyak RM3,400 sebagai kos legal fees dalam masa sebulan. 

Setakat itu sahajalah perkongsian saya pada kali ini. 

Ahad, April 09, 2017

Caj Jualan Amanah Saham vs Yuran Broker Saham

Salam.

Apabila kita melabur, terdapat kos-kos sampingan yang perlu diambilkira. Contohnya, untuk amanah saham (unit trust) CIMB, caj jualan bagi dana jenis ekuiti adalah 6.5%. Agak tinggi bukan? Tetapi bagi pelaburan saham, yuran broker (brokerage fee) CIMB apabila membeli saham adalah 0.42% atau RM12, mana-mana yang lebih tinggi (melalui platform online CIMB i-Trade).

Untuk lebih jelas, mari kita lihat contoh berikut:

Kes 1:
Unit Trust CIMB jenis ekuiti:-
Jumlah pelaburan: RM200
Caj jualan 6.5%: RM13

Saham melalui broker CIMB i-Trade:
Jumlah pelaburan: RM200
Yuran broker: RM12 atau 0.42% daripada RM200 = RM0.84. Maka RM12 akan dicaj.

Kes 2:
Unit Trust CIMB jenis ekuiti:-
Jumlah pelaburan: RM3000
Caj jualan 6.5%: RM195

Saham melalui broker CIMB i-Trade:
Jumlah pelaburan: RM3000
Yuran broker: RM12 atau 0.42% daripada RM3000 = RM12.60. Maka RM12.60 akan dicaj.

Dalam kedua-dua contoh kes di atas, kita dapat lihat bahawa jika kita melabur lump sum dalam jumlah yang banyak, melabur secara terus dalam saham adalah pilihan yang lebih menguntungkan kerana yuran broker hanya 0.42% sahaja. Sebaliknya, bagi amanah saham, caj jualan masih sama iaitu 6.5%. Jika melabur dalam jumlah yang kecil, caj jualan atau yuran broker adalah lebih kurang sahaja. Kita juga dapat mengetahui bahawan apabila melabur dalam saham dalam jumlah yang kecil, agak sukar untuk mendapatkan pulangan yang berbaloi.

Lihat contoh kes berikut pula:

Kes 1:
Unit Trust CIMB jenis ekuiti:-
Jumlah pelaburan: RM100
Caj jualan 6.5%: RM6.50

Saham melalui broker CIMB i-Trade:
Jumlah pelaburan: RM100
Yuran broker: RM12 atau 0.42% daripada RM200 = RM0.42. Maka RM12 akan dicaj.
(Peratus yuran broker adalah 12%...wow...tingginya!) Dalam kes ini, kita mesti mendapatkan pulangan lebih 12% supaya sekurang-kurangya medapat semula modal.

Di sini saya sertakan contoh dokumen/gambar sebenar dari pengalaman saya sendiri melabur dalam amanah saham dan saham.

Contoh caj jualan 6.5% unit amanah saham CIMB

Contoh yuran broker melalui pembelian saham online di CIMB iTrade
Setakat itu sahaja perkongsian saya pada kali ini.
Harap anda dapat manfaat. Sekian.

Jumaat, Mac 03, 2017

Pengalaman Melabur Dalam Saham di Bursa Malaysia


Post ini adalah mengenai pengalaman saya sendiri melabur dalam saham patuh shariah di Bursa Malaysia. Saya sertakan sekali screenshot dan details untuk memudahkan pemahamam. 

Pernah tak tertanya-tanya mengenai apa itu saham dan ragu-ragu hendak melabur saham seperti berikut:
"Bagaimana cara melabur atau main saham?"
"Ramai orang kata main saham selalu rugi"
"Saham ni untuk orang kaya-kaya sahaja"
"Susah la faham saham ni"

Untuk pengetahuan, melabur dalam saham ni tak sesusah yang disangka. Malah, dengan modal yang kecil sahaja pun anda sudah boleh melabur. Jumlah minimum saham yang boleh dilaburkan di Bursa Malaysia adalah 1 Lot atau 100 unit (Sebelum ini minimum 1 Lot = 1000 unit, Bursa Malaysia telah memperbaharui polisi mereka). Maka, katakan jika satu unit saham berharga 15 sen, dan anda mahu beli 1 Lot, maka anda hanya perlu beli 100 unit x 15 sen = RM 15 sahaja. So, terjawab sudah mitos mengenai "Saham ni untuk orang kaya-kaya sahaja". 

Ok lah. Mari kita pergi ke tujuan utama blog post kali ini. Saya nak kongsikan pengalaman saya sendiri semasa mula-mula melabur dalam saham di Bursa Malaysia baru-baru ini. Sebelum itu, untuk pengetahuan, saham adalah pemilikan ekuiti dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Langkah pertama dan paling asas adalah mempunyai akaun CDS dan akaun Trading bersama syarikat broker pilihan anda. Selepas ada 2 akaun ini, anda bolehlah berjinak-jinak atau mencuba sendiri melabur dalam saham. Berikut merupakan infografik daripada Bursa Malaysia sendiri:



Saya mempunyai akaun Trading bersama CIMB Investment Bank Berhad dan mendapat akses untuk melakukan transaksi jual beli online melalui platform iTrade@CIMB sama ada desktop atau mobile app. Saya dah lama sebenarnya ada akaun CDS ni, lebih kurang 2 tahun lepas, tetapi tidak pernah melakukan transaksi langsung kerana tidak yakin lagi, kurang ilmu, tiada masa, tiada modal, dan tiada motivasi. Baru-baru ini selepas menghadiri seminar labur saham percuma dianjurkan Asri Ahmad Academy, saya telah mendapat motivasi yang cukup dan saya mengambil keputusan untuk memulakan pelaburan saham dan belajar sedikit demi sedikit. Sedikit fakta: Statistik akaun CDS (akaun pelaburan saham)yang aktif dimiliki rakyat Malaysia 240 ribu berbanding 30 juta jumlah penduduk.

Saham pertama yang saya beli adalah saham MYEG, kerana saya terlihat berita di laman akhbar online The Star mengenai keuntungan terkini yang meningkat dari tahun sebelumnya. Boleh refer link ini bertarikh 28 Feb 2017: http://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/02/28/myeg-posts-another-solid-set-of-results// Rekod MYEG bagi 5 tahun lepas juga agak memberangsangkan. Boleh check di link ini: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/list-of-companies/plc-profile.html?stock_code=0138 (click 5 years pada tab chart period)

Rekod saham MyEG untuk 5 tahun terakhir

Sebelum saya mula membeli saham, saya perlu mempunyai fund dalam akaun Trading di iTrade@CIMB dahulu. Jadi, saya mulakan dengan topup RM150 ke dalam akaun Trading tersebut. Caranya di iTrade@CIMB ialah dengan pergi ke menu Settlement, kemudian ke sub menu eDeposit. Dari eDeposit, saya boleh transfer duit melalui online banking CIMB atau Maybank. Yang menariknya, apabila saya berjaya topup RM150, jumlah fund available yang terpapar di iTrade@CIMB adalaah RM450. Ada buffer atau advance RM300. 

Oleh kerana tak berapa faham lagi konsep lebihan RM300 itu, saya abaikan dan teruskan hasrat membeli saham MYEG. Saya bid pada harga RM1.61 pada waktu pagi lebih kurang pukul 11.00am, namun tak berjaya kerana status menunjukkan Pending Queue. Kemudian saya cancel, dan cuba beli lagi pada harga yang sedikit tinggi, iaitu RM1.63 pada waktu petang, dan akhirnya berjaya. Walaupun saya bid pada harga RM1.63 seunit, saya dapat beli pada harga RM1.62 sebanyak 100 unit. RM1.62 itu adalah Match Price dalam urusan jual-beli di Bursa Malaysia. Tarikh beli saya adalah pada 28 Feb 2017. 

Hari seterusnya, saya tambah lagi pelaburan dengan beli 2 lagi saham lain iaitu EKOVEST dan EVERGRN. So, sebagai summary, berikut adalah maklumat/screenshot mengenai pembelian 3 saham tersebut. 





Screenshot yang saya tunjuk di atas adalah pada 2 Mac 2017. Selepas saya check pada bahagian menu Settlement, barulah saya faham konsep T+3. T merujuk pada Trading day, iaitu hari di mana saham dibeli atau dijual. Saya beli pada 28 Feb 2017, T + 3 adalah 28 Feb 2017 tambah 3 hari, maka T+3 adalah 3 Mac 2017, hari di mana saya patut menjelaskan bayaran pembelian saham tersebut. Sumber bayaran boleh diambil dari fund di akaun Trading, ataupun boleh juga menggunakan online banking melalui CIMB atau Maybank. Untuk maklumat lanjut atau memahami lebih jelas, and boleh lihat details dalam screenshot berikut (diambil daripada iTrade@CIMB versi desktop, versi mobile app tiada maklumat ini):




Sebenarnya, dengan polisi T+3 ini, kita boleh mengaut keuntungan tanpa modal jika saham naik mendadak pada semasa T+1 dan T+2, dan kita menjual terus saham tersebut pada T+1, atau T+2. Tetapi cara ini saya tidak guna kerana ianya adalah cara spekulator, dan berisiko. Ini kerana jika saham menjunam pada T+1 dan T+2, kita terpaksa tanggung kerugian pada T+3, sama ada kita membayar ataupun tidak. Jika tidak bayar, pihak Bursa berhak force selling saham pada harga yang tidak menguntungkan, maka kita memang akan rugi. 

Satu perkara yang agak penting juga yang dapat saya belajar ialah kita tak semestinya beli saham pada waktu kaunter saham dibuka sahaja iaitu 9am - 12.30pm dan 2.30pm - 5.00pm. Kita boleh beli bila-bila masa sahaja sepanjang hari (24 jam), dan sistem broker akan queue order tersebut untuk pembelian apabila kaunter saham dibuka. Screenshot berikut membuktikan apa yang cuba sampaikan (Lihat bahagian Remarks, "Order will be submitted next trading session":




Banyak lagi yang saya nak bagitahu, tapi rasanya maklumat ini mencukupi untuk anda nampak atau fahami secara kasarnya mengenai pelaburan saham ini. Cuma saya nak ingatkan atau betulkan persepsi. Istilah "main saham" adalah tidak tepat, sebenarnya isitlah "pelaburan saham" lebih tepat digunakan kerana saham adalah salah satu cabang pelaburan yang serius, sama juga konsep seperti pelaburan hartanah, pelaburan unit trust/amanah saham, dan pelaburan emas. 

Sebelum memulakan apa-apa pelaburan, melaburlah dalam ilmu dahulu, kemudian semak dan tentukan porfolio risiko yang kita sanggup tanggung, kerana semakin tinggi risiko, semakin tinggi juga pulangan atas pelaburan yang boleh diperolehi, tetapi semakin tinggi juga kebarangkalian untuk rugi. Tetapi, InshaAllah dengan ilmu yang mencukupi, kesabaran, kebolehan mengawal emosi, serta kesungguhan dan motivasi yang cukup, kita boleh berjaya. 

Untuk pelaburan saham ini, saya merasakan 2 website yang agak bagus yang mengandungi banyak informasi adalah Bursa Market Place (http://www.bursamarketplace.com/) dan juga The Star bahagian business (http://www.thestar.com.my/business/):
Akhir kata, berikut merupakan perkongsian yang agak berguna mengenai kewangan:

5M mengenai kewangan:
1. Mindset
2. Matlamat hidup 
3. Matlamat kewangan
4. Motivasi
5. Memberi
Langkah-langkah pengurusan & pelaburan kewangan:
1. Pendapatan
2. Simpanan
3. Ilmu
4. Melabur
5. Wasiat

Harap anda boleh dapat manfaat dari perkongsian ini. Sekian. 

Khamis, Februari 02, 2017

Beli Emas Secara Bertangguh & Pelaburan Akaun Emas di Bank

Salam.

Saya pernah membeli emas fizikal dalam bentuk dinar emas secara online di Nubex pada zaman kenaikan harga emas dahulu iaitu pada tahun 2011. Pada zaman tersebut juga heboh orang mengatakan tidak boleh beli emas secara bertangguh, bermaksud beli secara tunai dan mesti mendapatkan emas tersebut secara tunai juga, tanpa bertangguh. Pada waktu itu, berdasarkan kajian saya dengan mencari maklumat dan pandangan syarak, emas boleh dibeli secara bertangguh asalkan tidak melebihi tempoh 3 hari. Oleh itu, belian saya secara online melalui Nubex adalah sah kerana Nubex menghantar emas tersebut melalui Pos Laju yang dapat diperolehi dalam masa 1 hingga 3 hari. Sehingga kini juga saya masih membeli emas apabila terdapat lebihan tunai atau simpanan, kerana sifat emas itu sendiri yang bernilai, dan beberapa kelebihan lain seperti dalam post saya sebelum ini. 

Berikut adalah antara kandungan mengenai transaksi emas dalam buku "Panduan Syarak Tentang Emas" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2015. 

"Kemajuan teknologi membawa kepada wujudnya pelbagai medium transaksi dan urus niaga. Perniagaan yang asalnya berlaku secara bersemuka, kini dapat dijalankan melalui talian dan maya. Sempadan masa dan tempat tidak lagi menjadi halangan dalam sesuatu transaksi. 

Perubahan ini menyebabkan para sarjana Islam kontemporari berijtihad bagi menentukan hukum bagi setiap jenis transaksi tersebut.  Apatah lagi, emas merupakan barang ribawi yang mempunyai syarat-syarat khas yang perlu dipatuhi dalam setiap urusan jual belinya"

Pembayaran Emas Secara Tunai

Menurut syarak, jual beli barang ribawi seperti emas perlu menepati syarat-syarat berikut: 

1. Perlu dilakukan secara tunai (lani)
2. Tidak boleh berlaku penangguhan dalam penyerahan

So, blog post kali ini saya cuma nak menjadikan kekeliruan mengenai belian emas tertangguh ini menjadi lebih jelas. Ini merupakan soal jawab mengenai belian emas tertangguh daripada laman web majalahniaga yang mendapatkan jawapan daripada Pakdi, seorang Islamic Financial Planner, dan juga penulis buku "Rancang Wang Dari Sekarang". 

#6 – Bagaimana mahu membuat pembelian emas fizikal secara online?
7soalan Jualbeli emas-2Pembelian emas secara online dapat dibuat selagi mana ia dibuat secara tunai. Andaikan tuan membeli emas seberat 10g bernilai RM 1,500, maka selepas sahaja tuan membayar jumlah penuh kepada penjual, maka penjual mesti memberikan resit yang dapat tuan gunakan untuk menuntut emas tersebut.
Tujuan resit adalah untuk memenuhi syarat qabadh (possession) yang menjadi syarat wajib jual beli emas. Qabadh hakiki (actual possession) berlaku apabila selepas tuan membayar, tuan memperoleh emas tersebut.
Qabadh hukmi (constructive possession) pula berlaku apabila selepas tuan membuat pembayaran, tuan menerima resit yang menunjukkan emas itu ada, dan tuan dapat menuntut emas tersebut pada bila-bila masa tanpa sebarang halangan daripada pihak penjual.
Saya juga pernah membuka akaun pelaburan emas di Maybank, dengan membeli emas sebanyak 5g dan direkodkan dalam buku pelaburan. Kemudian, saya mengetahui bahawa kaedah pelaburan seperti itu tidak sah kerana tiada emas fizikal yang diniagakan, sebaliknya hanya di atas kertas sahaja. Akaun pelaburan emas yang sah mengikut syarak pada masa itu hanyalah yang ditawarkan oleh Kuwait Finance House dan Bank Rakyat sahaja, kerana bank-bank tersebut akan menunjukkan bukti yang emas fizikal ada apabila kita membeli, kita boleh lihat sendiri dan pegang, dan seterusnya barulah kita boleh membeli/melabur untuk dicatatkan dalam buku akaun pelaburan. Sehubungan dengan itu, saya cuba menutup akaun pelaburan emas tersebut, tetapi tidak boleh. Maka saya keluarkan 4g emas, dan hanya tinggal baki 1g sahaja. Baru-baru ini pada Januari 2017, saya berkelapangan dan pergi ke bank untuk menutup buku pelaburan emas tersebut, dan kali ini berjaya. Kesilapan saya ini disebabkan saya tidak arif mengenai "Syarat Wujud Emas" dari segi syarak. 

Oleh itu, berikut merupakan antara isi penting yang terkandung dalam buku "Panduan Syarak Tentang Emas" sebagai ilmu bagi "Syarat Wujud Emas" ini:

Syarat Wujud Emas

Antara perkara yang perlu diteliti ketika melakukan pembelian emas khususnya yang dalam aktiviti pelaburan emas, ialah kewujudan emas fizikal secara hakiki. Hal ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W yang bermaksud: 

"Daripada Hakim ibn Hizam, katanya: Wahai Rasulullah, ada dalam kalangan lelaki datang kepadaku untuk membeli, namun aku tidak mempunyai barang. Adakah boleh aku berjual beli, kemudian aku dapatkan barang daripada pasar? Maka jawaba Baginda: Jangan jual sesuatu yang engkau tidak miliki." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Hadith tersebut jelas mensyaratkan wujudnya barang jualan semasa akad jual beli. Perbuatan berakad sebelum memiliki sesuatu barang yang hendak dijual adalah bertentangan dengan syarak. Hal ini berlaku dalam jual beli emas apabila penjual telah melakukan akad dengan pembeli sebelum dia mendapatkan bekalan emas daripada pengeluar atau pengedar. 

Keghairahan sebahagian masyarakat untuk mengaut keuntungan, menyebabkan mereka terlibat dengan pelaburan emas secara maya atau berbentuk akaun semata-mata tanpa disandarkan kepada emas fizikal. Perkara ini juga tidak menepati syarat jual beli, iaitu adanya emas ketika jual beli dan diketahui oleh kedua-dua pihak berakad sama ada dengan: 

1) Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya. 

2) Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan. 

3) Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara'urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenal pasti tahap ketulenan emas sama ada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peraturan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, sama ada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas. 

Disyaratkan juga bahawa barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika emas tersebut tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah. 

Sekian sahaja post saya kali ini. 
Terima kasih kerana sudi membaca. 

Jumaat, Januari 13, 2017

Kad Touch N Go yang Boleh Auto Reload



Saya nak kongsikan kepada anda mengenai Zing Card iaitu sejenis kad Touch 'n Go yang akan auto reload apabila baki kad Touch 'n Go bawah RM50. Nilai auto reload boleh pilih RM100/RM200/RM300 dengan syarat mesti link dengan credit card. So, jumlah reload akan di-caj  kan ke dalam bill credit card. Borang boleh download dekat website Touch 'n Go, isi, scan dan hantar melalui email. Saya isi guna PDF-Form-Filler secara online guna PDFescape (sebab tulisan tangan tak cantik..hehe). Untuk maklumat lanjut, boleh check link berikut:

Ahad, November 06, 2016

Pengalaman Melabur Dalam Unit Trust CIMB dan Public Mutual



Salam. Saya nak kongsikan di sini pengalaman saya melabur dalam unit trust atau amanah saham CIMB dan Public Mutual. Saya mula melabur dalam unit trust CIMB pada tahun 2009, dan masih lagi melabur sehingga sekarang. So, saya akan kongsikan pengalaman, tips-tips, konsep, dan juga screenshot berkaitan untuk memudahkan anda faham apa yang saya cuba kongsikan. Setakat ini, saya sudah melabur pada 3 dana iaitu CIMB DALI Equity Theme Fund, Public Islamic Optimal Growth Fund, dan Public Islamic Sector Select Fund. Ketiga-tiga jenis fund ini sesuai untuk jangka masa sederhana atau jangkamasa panjang, antara 3 hingga 5 tahun, atau lebih. 


1. Buat research atau kajian terlebih dahulu mengenai dana unit trust yang anda minat

Kebanyakan maklumat mengenai dana-dana unit trust boleh didapati online. Tentu anda akan rambang mata untuk memilih dana yang bagus dan sesuai dengan profil risiko anda. Bagi saya, saya akan memilih dana yang patuh shariah, berprestasi tinggi, popular, baru dilancarkan, dan mempunyai nilai NAV (Net Asset Value) yang rendah. Macam mana nak tahu dana tersebut berprestasi tinggi? Caranya lihat maklumat prestasi dana tersebut di website yang mengendalikan research khas untuk pelaburan dan unit trust seperti Morning Star dan Lipper. 



Morningstar rating untuk dana-dana CIMB
Maklumat lanjut mengenai dana CIMB di Morningstar


Lipper rating untuk dana CIMB
Maklumat lanjut mengenai dana CIMB di Lipper
2. Anda boleh labur secara lump sum atau sedikit demi sedikit secara konsisten. 


Jika anda ada wang lebih, contohnya selepas anda dapat bonus dari majikan, anda boleh labur secara lump sump iaitu secara banyak sekaligus. Cuma, untuk cara ini waktu bila anda melabur amat penting. Sebolehnya pillih waktu ketika harga dana (NAV) rendah untuk memaksimakan keuntungan. Cara lagi satu ialah sedikit demi sedikit secara konsisten iaitu kaedah pemurataan kos ringgit. Dengan cara ini, anda hanya perlu labur wang dengan jumlah yang sedikit, tetapi secara konsisten, secara bulanan contohnya. Dengan cara ini, anda tak perlu risau tentang waktu yang sesuai untuk melabur, dan kesan turun naik harga NAV akan diseimbangkan, bermaksud ada ketika anda beli pada harga mahal, ada ketika anda beli pada harga murah. Anda boleh buat standing instruction untuk cara kedua ini iaitu sejumlah wang akan ditolak secara automatik daripada akaun bank anda terus kepada dana unit trust. 
Contoh pelaburan bagi kaedah pemurataan kos ringgit 
Contoh pulangan selepas 5 tahun sebanyak 69%  bagi kaedah lump sump

3. Melabur secara tunai atau melalui Akaun 1 KWSP

Jika anda ada lebihan wang tunai, anda boleh melabur secara tunai. Tetapi, jika wang tunai tidak mencukupi, wang simpanan daripada akaun 1 KWSP juga boleh dilaburkan. Berikut merupakan maklumat mengenai pelaburan unit trust melalui KWSP:

  • 20% daripada jumlah simpanan yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1
  • Jumlah miminum pengeluaran pelaburan adalah RM1,000.00 
  • Jumlah maksimum tidak melebihi 20% daripada jumlah simpanan yang melebihi Simpanan Asas 
  • Formula : (Akaun 1 – Simpanan Asas) x 20%  


4. Keuntungan tidak dapat diperolehi dalam jangkamasa pendek


Berdasarkan rekod dan pengalaman saya, apabila melabur dalam unit trust ini, anda perlu banyak bersabar. Keuntungan biasanya akan terhasil dalam jangkamasa sederhana atau panjang, kebiasaannya 3  hingga 5 tahun atau lebih. Ini kerana selepas sahaja anda melabur, anda sudah rugi disebabkan sales charge (kebiasaanya 3% hingga 6% bergantung pada jenis dana). Contohnya, anda melabur RM 1000. Katakan sales charge 5% bersamaan RM50. Maka jumlah bersih pelaburan anda hanyalah RM 950 walaupun modal sebanyak RM 1000 disebabkan anda sudah rugi atas angin pada sales charge. Oleh sebab itulah pilih dana yang berprestasi supaya dapat mengatasi kerugian disebabkan sales charge ini. Walaubagaimanapun, pada paparan ROI (Return On Investment) pada summary of unit trust account ataupun penyata pelaburan biasanya sudah mengambil kira kos sales charge ini. 

Prestasi dana CIMB Dali Equity Theme Fund 


5. Melabur pada ketika ekonomi tidak bagus dan ketika harga NAV rendah

Harga NAV pada keadaan ekonomi semasa juga mempengaruhi keuntungan anda. Pada keadaan ekonomi tidak bagus, harga NAV biasanya merundum jatuh dan keuntungan anda juga berkurang. Tetapi, pada masa ekonomi jatuhlah sebenarnya masa yang paling sesuai anda melabur kerana anda dapat beli unit dengan lebih banyak pada harga lebih murah. Contohnya, pada harga NAV 0.20 seunit, anda dapat beli sebanyak 5000 unit dana dengan melabur RM 1000. Sebaliknya, pada harga NAV 0.15 seunit ketika ekonomi tidak berapa bagus, anda dapat beli sebanyak 6666.67 unit dana dengan melabur RM 1000. Selepas ekonomi stabil, katakan NAV ketika itu 0.30 dan anda jual balik kesemua 6666 unit, maka anda dapat pulangan 6666.67 x 0.30 =  RM2000 (abaikan sales charge untuk memudahkan pengiraan dan kefahaman). 

NAV RM 0.2963 pada tahun 2014

NAV RM 0.2602 pada tahun 2016 (ekonomi tidak bagus)

6. Rekodkan setiap pelaburan secara berkala

Merekodkan pelaburan anda sangat berguna kerana anda boleh menganalisis pencapaian pelaburan semasa dan melihat sejarah pelaburan dalam jangkamasa tertentu untuk mengatur strategi pada pelaburan akan datang. Cara paling mudah ialah screenshot transaksi dan summary akaun pelaburan yang boleh dilihat secara online. Cara lain yang lebih terperinci ialah dengan merekodkan pada Excel, Evernote, ataupun OneNote. Bagi saya, Evernote adalah yang paling bagus kerana anda boleh search kembali screenshot bagi pelaburan anda melalui keyword. Evernote akan menggunakan teknologi OCR (Optical Character Recognization) untuk mengenalpasti perkataaan dan huruf dalam screenshot anda. 
Contoh keyword search "CIMB DALI" pada Evernote. Perkataan berwarna kuning adalah hasil OCR

7. Dividen pada unit trust dipanggil sebagai "Distribution"

Tidak seperti KWSP, ASB, dan Tabung Haji, dividen atau perkongsian keuntungan dalam unit trust mempunyai istilah yang lain iaitu "Distribution". Malah, tidak semua jenis dana layak untuk mendapat Distribution ini. Sesetengah dana memang ada memberi Distribution, tetapi bukan secara berkala, hanya pada masa-masa tertentu sahaja bergantung pada prestasi semasa dana (Ad-Hoc). Anda boleh melihat maklumat mengenai Distribution dana pada prospektus, factsheet, ataupun pada website. Contohnya, untuk CIMB, anda boleh lihat maklumat Fund's Distribution melalui link ini.
CIMB fund's distribution list

8. Pengeluaran atau mendapatkan kembali pulangan pelaburan

Anda boleh mengeluarkan kembali pelaburan atau mendapatkan pulangan pelaburan secara online bagi CIMB dan Public Mutual ini. Cuma isitilah bagi keduanya berbeza. Pada CIMB anda perlu pergi kepada menu Redemption, manakala bagi Public Mutual Online anda perlu pada menu Repurchase. Untuk Public Mutual, saya sudah mencuba Repurchase secara online, manakala CIMB pula saya hanya mengeluarkan pelaburan secara manual sahaja dengan pergi ke cawangan CIMB terdekat.

Repurchase melalui Public Mutual Online

Setakat ini sahaja perkongsian saya. Diharap anda mendapat manfaat daripada penulisan saya ini. Sila ambil maklum, tulisan ini hanyalah perkongsian pengalaman sahaja, bukan nasihat perofesional.

Penafian/Dislcaimer: http://www.bijakwangbijakit.com/p/disclosure.html

Blog post berkaitan: Pelaburan ASB vs Unit Trust CIMB